Monday, October 28, 2013

KPM Harus Mengutamakan Negeri Sarawak Dalam Agihan Peruntukan Pendidikan Belanjawan 2014


KUCHING: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) harus mengutamakan negeri Sarawak dalam pengagihan peruntukan pendidikan RM54.6 bilion dalam Belanjawan 2014.

Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) Ahmad Malie berkata pengagihan peruntukan seharusnya setimpal dengan keluasan dan keperluan pendidikan negeri Sarawak.

Selain itu katanya KPM harus menyediakan dana khas membaik pulih bangunan, prasarana dan fizikal sekolah kerana masih terdapat banyak sekolah di Sarawak yang perlu dibaik pulih segera.

“Secara dasarnya KGBS menyambut baik insentif –insentif yang diumumkan dalam Belanjawan 2014 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, khususnya peruntukan RM54.6 bilion kepada Kementerian Pendidikan.

“Ini adalah peruntukan terbesar dalam kalangan kementerian yang lain.

“Dengan peruntukan besar ini, KGBS menggesa agar agihan untuk Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak seharusnya setimpal dengan keluasan negeri ini yang hampir sama dengan Semenanjung Malaysia, demi kepentingan pendidikan di Sarawak,” katanya ketika mengulas peruntukan RM54.6 bilion untuk pendidikan pada Belanjawan 2014.

Ahmad berkata KGBS turut menggesa kementerian memberi peruntukan perjalanan lebih besar untuk pegawai-pegawai sama ada di peringkat jabatan atau sekolah di Sarawak memandangkan kos yang tinggi.

Menurutnya keluasan negeri Sarawak yang besar memerlukan pegawai menggunakan perkhidmatan kapal terbang, bot sewa serta kenderaan darat yang melibatkan kos petrol tinggi untuk menjalankan tugas-tugas pengurusan dan pentadbiran pendidikan.

“Semua pegawai pelajaran perlu menghadiri mesyuarat, kursus atau program-program lain anjuran kementerian, jauh dari tempat mereka bertugas yang pastinya memerlukan kos perjalanan yang tinggi.

“Justeru dengan justifikasi tersebut, KGBS amat berharap KPM dapat mempertimbangkan agihan peruntukan setimpal dengan saiz dan keperluan pendidikan di Sarawak untuk mengupayakan lagi pendidikan di negeri ini,” ujarnya.

Jumaat lepas Najib ketika membentangkan Belanjawan 2014 mengumumkan bahawa RM54.6 bilion atau 21 peratus daripada keseluruhan belanjawan RM264.2 bilion untuk aspek pendidikan.

Najib berkata daripada jumlah itu, RM530 juta diperuntukkan bagi melaksanakan program-program prasekolah dan membina 93 lagi prasekolah di sekolah-sekolah kebangsaan di seluruh negara.

RM209 juta pula akan digunakan bagi memantapkan lagi profesion pendidikan dengan memberi penekanan kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

Sementara itu, RM168 juta akan dibelanjakan untuk memperluaskan liputan Internet terutama di kawasan luar bandar dan RM831 juta diperuntukkan bagi membina 33 sekolah baharu serta menaik taraf sekolah sedia ada termasuk sekolah yang uzur.

“Sebagai langkah susulan komitmen kerajaan, dana khas untuk membina, menaik taraf dan menyelenggara sekolah akan mendapat tambahan RM450 juta,” kata Najib.

Manakala baki peruntukan digunakan untuk membangunkan Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Mubaligh, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Maktad Rendah Sains MARA (MRSM) dan Sekolah Agama Rakyat termasuk dana bagi meningkatkan status penyelidikan di universiti-universiti tempatan.


- Utusan Borneo

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...