Tuesday, October 01, 2013

Lebih 1,000 Graduan Unitar Sabah Kursus Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Tidak Diambil Khidmat


1,000 Sabah Unitar Grads Denied Rights To Become Teacher - Daily Express Sabah

Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Murut Sabah (Pekadin) mahu kerajaan, khususnya Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) mengkaji semula dasar berhubung pengiktirafan kursus Ijazah Sarjana Muda Pendidikan yang ditawarkan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di negara ini.

Naib presiden Pekadin Luis Lidong berkata kerajaan wajar memberi perhatian serius terhadap perkara itu berikutan keluhan lebih 1,000 graduan pendidikan dari Unitar cawangan Sabah yang tidak diambil berkhidmat sebagai guru di sekolah kerajaan.

"Difahamkan graduan Unitar ini membelanjakan puluhan ribu atau meminjam PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) untuk membiayai pengajian mereka selama tiga atau empat tahun tetapi akhirnya tidak berpeluang menjadi guru sekolah kerajaan.

"Bagaimana kerajaan melalui Agensi Kelayakan Malaysia boleh meluluskan kursus yang ia sendiri tidak iktiraf. Oleh itu, kami di Pekadin mahu kerajaan kaji semua dasar ini demi kebaikan dan keadilan graduan dan bakal graduan," katanya dalam kenyataan di Tuaran hari ini.

Luis berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas ketua pemuda Gerakan Sabah Chang Shui Kiong di akhbar tempatan semalam berhubung perkara itu.

Chang dipetik sebagai berkata bahawa beliau terkilan mengapa graduan dari IPTS itu tidak diiktiraf oleh kerajaan sedangkan mereka juga berkemampuan sama seperti graduan universiti awam.

Luis berkata pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dari Unitar itu sepatutnya diberitahu awal bahawa kelayakan mereka hanya diiktiraf untuk berkhidmat di sekolah swasta atau bekerja di sektor swasta dan bukan membiarkan mereka terkapai-kapai tanpa haluan atau masa depan yang nyata.

"Sekiranya kualiti graduan IPTS tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan kerajaan, terutama Kementerian Pelajaran untuk membolehkan diserap ke perkhidmatan awam atau sekolah kerajaan, maka kerajaan perlu mencari jalan membela nasib golongan ini sejajar dengan aspirasi 1Malaysia," katanya.

Sehubungan itu, Pekadin merayu Kementerian Pelajaran supaya memberi perhatian sewajarnya terhadap masalah graduan terlibat termasuk menimbang kemungkinan mengatur program atau kursus khas untuk jangka masa tertentu.

"Berdasarkan maklumat yang diterima dan laporan media, masih terdapat kekurangan guru di sekolah-sekolah luar bandar di Sabah, dan dalam hal ini, graduan Unitar yang mempunyai ijazah pendidikan sudah tersedia untuk dipertimbangkan bagi tujuan itu," katanya.

Sementara itu, Luis berkata Pekadin menyambut baik usaha Pertubuhan Perlestarian Bahasa Lotud Sabah untuk menghasilkan Kamus Bahasa Lotud.

Beliau berkata inisiatif seumpama itu pasti akan memperkayakan khazanah warisan bahasa pelbagai suku kaum di Sabah.

Sumber: Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...