Wednesday, October 23, 2013

Semua Graduan DPLI-GSTT Sarawak Diserap Mengajar Ke Sekolah Negeri Ini


KOTA SAMARAHAN: Semua atau 100 peratus graduan tempatan untuk Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI) bagi Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) akan diserap ke sekolah di negeri ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun berkata, malah graduan daripada DPLI-GSTT daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) itu akan mendapat surat lantikan terus daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) Malaysia.

“Ini adalah satu keisti mewaan kepada anak Sarawak apabila semua mereka yang berada di pasaran kerja ini akan diambil (bekerja).

“Maka itu tidak ada masalah dari segi pengambilan guru di negeri ini yang diisi sendiri anak tempatan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Surat Tawaran Pelantikan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan IPGM dan IPTA di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini, semalam.

Katanya sehingga tahun depan, jumlah keseluruhan graduan IPGM dan IPTA dijangka 20,000 dan daripada jumlah itu hanya terdapat 7,000 kekosongan.

“Namun bagi kes Sarawak kita mengambil semua graduan ini tanpa sesiapa yang tinggal, khasnya mereka yang memohon.

“Ia juga akan dilakukan di Sabah, dengan memberi keutamaan kepada anak tempatan mengisi kekosongan guru,” ujarnya.

Entulu yang juga Ahli Parlimen Selangau berkata, program yang pertama kali di Sarawak itu dipercayai secara tidak langsung membantu mengisi kekurangan guru yang berlaku di Sarawak.

Tambahnya SPP berusaha mempercepatkan proses pengambilan di mana ia menyaksikan graduan DPLI-GSTT ditemu duga dan kemudian menerima surat lantikan terus pada hari yang sama.

Kata beliau ia adalah satu penambahbaikan dalam SPP kerana sebelum ini graduan DPLI-GSTT perlu menunggu empat hingga enam bulan untuk menerima surat lantikan dan seterusnya untuk ditempatkan.

Tambahnya bukan itu sahaja melalui program sedemikian ia diyakini membantu mengurangkan kos perpindahan guru.

“Kekurangan guru berlaku apabila ada di kalangan mereka ini mahu berpindah dan kerajaan mempunyai kekangan kewangan kerana perlu menanggung kos jutaan ringgit bagi tujuan berkenaan.

“Maka itu jalan terbaik adalah melaksanakan pengambilan dan melatih anak tempatan kita sendiri,” katanya.

Sementara itu Pengerusi SPP Malaysia Tan Sri Zulkurnain Awang dalam sidang media yang sama berkata, semalam seramai 520 graduan DPLI-GSTT ditemu duga dan menerima surat lantikan terus.

Daripada jumlah itu, 516 orang akan ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) sementara empat guru ditempatkan di kolej kemahiran termasuk Politeknik.

Kata beliau graduan-graduan itu dijangka akan ditempatkan di sekolah masingmasing bermula awal tahun depan.

“Secara keseluruhan di Malaysia sebanyak 10,430 perjawatan berkenaan merangkumi 4,440 perjawatan di sekolah menengah dan 5,990 di sekolah rendah, jelasnya.

Sumber: Utusan Borneo, 23/10/2013



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...