Tuesday, November 05, 2013

MBM Akan Menganjurkan Ekspo Pendidikan & Kerjaya Belia Miri Dijadualkan Pada 14 Disember 2013

MIRI: Bagi menghargai dan sebagai cara memberi perkhidmatan kepada masyarakat setempat, Majlis Bandaraya Miri (MBM) buat julung kalinya akan menganjurkan Ekspo Pendidikan dan Kerjaya Belia Miri di sini.

Datuk Bandar MBM Lawrence Lai memberitahu, ekspo berkenaan bakal menjadi antara acara terbesar untuk masyarakat setempat yang dianjurkan oleh pihaknya yang dijadualkan pada 14 Disember depan di Stadium Tertutup Miri.

“Justeru, MBM berharap ekspo yang akan dianjurkan itu dapat dijadikan sebagai landasan serta maklumat terkini mengenai peluang kerjaya sedia ada untuk pengetahuan masyarakat khususnya golongan belia.

“Pada masa sama, ekspo pendidikan itu nanti turut menyediakan maklumat mengenai institusi dan pendidikan tempatan serta universiti awam bagi memberi kemudahan kepada lepasan sekolah,” katanya pada sidang media di sini.

Menyedari cabaran besar dalam pasaran kerjaya, Lai yakin ekspo tersebut bakal menarik lebih ramai pengunjung dengan adanya penyertaan daripada sektor berkaitan yang bakal memberi maklumat berkualiti.

“Pada ekspo itu nanti, pelbagai majikan serta perunding pengambilan pekerjaan, institusi pendidikan tinggi dan kolej latihan menawarkan beratus peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat dalam pelbagai kemahiran serta peluang melanjutkan pelajaran,” tambahnya.

Melalui konsep ‘menang-menang’, mereka yang terlibat dalam ekspo tersebut boleh mempromosikan perniagaan kepada masyarakat yang sedang mencari pekerjaan selain membolehkan pengunjung mengetahui peluang pekerjaan dan melanjutkan pelajaran.

Antara manfaat yang akan diperolehi melalui ekspo tersebut ialah mereka yang mencari pekerjaan berpeluang mendapat pekerjaan atau memohon jawatan yang disediakan.

“Di samping itu, mereka yang memohon pekerjaan tersebut sekali gus membantu menjimatkan masa mereka untuk mencari pekerjaan di laman sesawang atau di mana-mana iklan dan akhbar,” ujarnya.

Menurut beliau, kira-kira 40 gerai disediakan yang disertai pelbagai sektor korporat, syarikat, institusi pendidikan dan pusat latihan di sini pada program sehari itu.

Justeru, orang awam dipelawa memeriahkan ekspo yang akan dibuka bermula jam 9 pagi hingga 5 petang. Kemasukan adalah percuma.

Sumber: Utusan Borneo


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...