Sunday, November 17, 2013

Murid Dapat 5A Dalam UPSR Dihadiahkan Ayah Mini Cooper


Fatini Zulaikha bersama kereta contoh Mini Cooper yang akan dihadiahkan oleh bapanya selepas mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR. 

Kota Bharu: Siti Nur Fatini Zulaikha Zukila tidak menyangka hasrat memiliki kereta Mini Cooper sebagai hadiah mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) menjadi kenyataan. 

Semalam, selepas menerima keputusannya, pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Zainab 1 itu mendapat kejutan paling istimewa apabila dihadiahkan kereta idaman oleh bapanya, Zukila Deraman, 36, seorang peniaga ayam. 

Bapanya memandu kereta ke sekolah untuk menunjukkan hadiah kepada anak sulungnya itu. Gambar Siti Nur Fatini bersama Mini Cooper di hadapan sekolahnya kemudian dimuat naik dalam laman sosial Facebook dan blog oleh ibunya sehingga mendapat komen positif dan negatif. 

“Pada awal tahun saya, pernah menyuarakan untuk dihadiahkan kereta berkenaan, namun bapa hanya diam. Kira-kira sebulan sebelum peperiksaan, bapa memberitahu saya akan dapat kereta itu jika mendapat 5A. 

“Saya tidak menyangka bapa menunaikan janjinya, malah membawa kereta itu ke sekolah sebagai hadiah kejayaan saya. Ibu memuat naik gambar dalam Facebook sebagai kenangan dan saya tidak menyangka ia menjadi perhatian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Tanjung Chat, di sini semalam. 

Ibunya, Nor Aishah Mahmud, 31, berkata hadiah kereta adalah sebagai hadiah kejayaan anaknya dan tidak bermaksud untuk menunjuk-nunjuk kemewahan. 

“Suami hanya menunaikan janjinya kepada anak dan kebetulan kami mampu membelinya. Gambar itu dimuat naik untuk kenangan keluarga dan tiada niat untuk menunjuk. 

“Kereta Mini Cooper jenis dua pintu dalam gambar yang dimuat naik dalam Facebook itu bukan kereta sebenar yang akan dihadiahkan. Suami akan bawa balik kereta lain tapi tetap jenama Mini Cooper mungkin empat pintu bagi kemudahan keluarga kami,” katanya.

Sumber: BH

Rujukan berkaitan: Utusan MalaysiahMetro.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...