Saturday, December 21, 2013

Pelajar UiTM Sabah Dipilih Duta Google Asia Tenggara



KOTA KINABALU 5 Dis. - Kesungguhan dan minat seorang mahasiswa Malaysia melayari internet dan belajar sesuatu teknologi baharu akhirnya membuahkan hasil apabila dia dipilih sebagai Duta Google bagi Asia Tenggara.

Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Sabah, Muhd. Ekram Mahat, 22, tidak menyangka video tentang biodata dirinya selama empat minit itu berjaya menarik minat pihak pengurusan Google Asia Tenggara, sekali gus melantiknya sebagai duta.

Jelas anak bongsu daripada enam beradik itu, dia diberitahu tentang pertandingan video itu oleh seorang rakannya sebelum mengambil keputusan menyertainya.

''Saya bersyukur dalam ribuan peserta dari lapan negara di Asia Tenggara yang menyertai pertandingan itu, saya antara 136 individu terpilih sebagai duta sebuah syarikat carian terbesar di dunia.

''Saya juga berbangga termasuk dalam kalangan 15 individu dari Malaysia yang terpilih sebagai duta dan merupakan wakil tunggal dari Sabah," katanya ketika ditemui dalam program sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa 2013 di UiTM, di sini hari ini.

Menceritakan lebih lanjut, Muhd. Ekram memberitahu, video yang dihantar bagi menyertai pertandingan itu berkisar tentang dirinya dan tanggungjawab yang akan dilakukan sekiranya dilantik sebagai duta.

Selaku Duta Google, anak kelahiran Kampung Berungis, Tuaran itu menjelaskan, tanggungjawab yang digalasnya semakin berat.

Namun, Muhd. Ekram optimis dapat memikul tanggungjawab itu dan akan memastikan pelantikannya sebagai duta benar-benar berbaloi.

''Buat masa ini, saya akan mempromosikan produk Google kepada rakan-rakan dan orang kampung, selain memberi mereka pendedahan bahawa teknologi kini berada di hujung jari.

''Selain itu, pelantikan ini juga memberi ruang dari segi kerjasama antara pihak Google dengan UiTM terutama cawangan Sabah untuk menjalankan aktiviti berkaitan teknologi," katanya.

Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Pelancongan itu berkata, pada bulan Jun lalu, dia dan beberapa wakil duta dari Malaysia menghadiri seminar tentang perkhidmatan dan produk Google di Yogjakarta, Indonesia.

Sementara itu, Rektor UiTM cawangan Sabah, Datuk Dr. Abdul Kadir Rosline berkata, kejayaan Muhd. Ekram itu satu pencapaian yang membanggakan pihaknya, sekali gus menjadi contoh kepada mahasiswa lain.

Katanya, penyertaan Muhd. Ekram itu adalah inisiatif dia sendiri dan ini menunjukkan semangat kesukarelawan dalam diri mahasiswa sangat tinggi.

Utusan Malaysia, 6/12/2013

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...