Saturday, December 21, 2013

Peluang Usahawan Bumiputera Bersama MARA Sertai Bisnes Pencetakan

Pengarah Urusan Bumi Xerox Sdn. Bhd, Abdul Wahab Md Isa (dua dari kiri), Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan MARA Bhd, Nazim Rahman (empat dari kiri), dan Ketua Pengarah Kanan, Sokongan Pelanggan FXAP, George Nides (dua dari kanan), melihat dokumen perjanjian sambil disaksikan Ibrahim Muhamad, Ibrahim Ahmad, Sohaimi Shahadan pada Majlis Perjanjian Persefahaman antara PMB dengan Fuji Xerox dan Bumi Xerox di Kuala Lumpur, kelmarin.

KUALA LUMPUR 20 Dis. - Pelaburan Mara Berhad (PMB) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) Skim Khidmat Usahawan Mara bersama Fuji Xerox Asia Pacific Pte. Ltd. dan Bumi Xerox Sdn. Bhd. bagi menyediakan peluang kepada usahawan yang berminat menjalankan perniagaan pusat fotokopi dan percetakan.

Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Ibrahim Ahmad berkata, usahasama tiga pihak tersebut adalah sebahagian daripada program pembangunan usahawan bersepadu yang dijalankan menerusi skim berkenaan.

Jelasnya, perjanjian itu merupakan antara agenda pembangunan usahawan yang turut menjadi sebahagian daripada agenda sosio ekonomi yang menjadi asas kepada kewujudan Mara

"PMB yang merupakan anak syarikat Mara mensasarkan pembinaan negara sebagai teras utama bagi semua kegiatan perniagaan yang dilaksanakan dan turut menjadi prinsip pelaburan kami secara menyeluruh.

"Kolaborasi tiga pihak ini membuktikan kecekapan kerajaan dalam membantu bakal-bakal usahawan bumiputera dengan menyalurkan pemindahan teknologi dan pengetahuan supaya dapat meningkatkan produktiviti di pusat-pusat fotokopi dan percetakan yang diusahakan," katanya.

Beliau berucap dalam Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) Skim Khidmat Usahawan MARA di antara PMB, Fuji Xerox Asia Pacific Pte. Ltd. dan Bumi Xerox Sdn. Bhd., di sini semalam.

Majlis menandatangani persefahaman tersebut disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ibrahim Muhamad; Pengerusi Bumi Xerox, Tunku Johanex Tunku Annuar dan Pengurus Besar Fuji Xerox, Johnny Loy.

PMB merupakan sebuah syarikat pengurusan pelaburan aset kewangan yang ditubuhkan pada 24 Jun 1967.

Menerusi perjanjian tersebut, Fuji Xerox akan memberi bimbingan kepada usahawan Mara yang merancang untuk menjalankan perniagaan tersebut dengan mengadakan bengkel dan kelas bimbingan.

Bumi Xerox sebagai rakan kongsi strategik pula akan mempromosi dan mengedar barangan untuk kegunaan usahawan.

Skim tersebut akan bermula tahun hadapan membabitkan 50 orang termasuk pelajar tahun akhir terpilih daripada Institut Kemahiran Mara (IKM) dan GiatMara.

Skim itu juga terbuka kepada graduan institusi pengajian Mara dan orang ramai yang berminat.

Tambah Ibrahim, pihaknya berharap dapat menyediakan platform menerusi pelbagai inisiatif bagi membentuk ekosistem yang berupaya membantu kumpulan tersebut menjayakan perniagaan mereka.

Utusan Malaysia

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...