Saturday, December 21, 2013

PMR 2013: Seramai 30,988 Calon Dapat A Dalam Semua Mata Pelajaran

DR. Khair Mohamad Yusof menunjukkan buku Analisis Keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013 selepas sidang akhbar di Kementerian Pendidikan, Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 19 Dis. - Pencapaian calon cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang mendapat A dalam semua mata pelajaran tahun ini meningkat sebanyak 514 orang atau 0.41 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof berkata, sebanyak 30,988 calon berjaya memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran berbanding 30,474 calon tahun lalu.

Beliau berkata, bilangan calon yang melepasi tahap penguasaan minimum pula menurun sebanyak 5,381 calon iaitu daripada 273,099 orang tahun lalu kepada 267,718 tahun ini.

"Secara keseluruhan pencapaian sebanyak 422,506 calon yang menduduki PMR tahun ini dalam 17 mata pelajaran akademik bertambah baik dengan peningkatan sebanyak 0.04 mata gred purata nasional (GPN) iaitu daripada 2.71 mata pada tahun lalu kepada 2.67 mata untuk tahun ini.

"Indeks yang digunakan untuk menunjukkan pencapaian calon di seluruh negara adalah menggunakan GPN manakala ukuran untuk prestasi mata pelajaran adalah gred purata mata pelajaran (GPMP) di mana nilai gred purata yang lebih kecil menunjukkan pencapaian calon lebih baik," katanya dalam sidang akhbar pengumuman analisis keputusan PMR di Kementerian Pendidikan di sini hari ini.

Menurut Khair, bilangan calon yang melepasi tahap penguasaan minimum iaitu semua gred D menurun sebanyak 5,381 calon iaitu daripada 273,099 calon kepada 267,718 calon.

Beliau berkata, bilangan calon yang mendapat gred E dalam semua mata pelajaran pula bertambah daripada 241 kepada 307 calon.

Mengulas lanjut, kata Khair, pencapaian calon bandar adalah lebih baik daripada calon luar bandar dengan gred purata masing-masing adalah 2.56 mata dan 2.81 mata.

Bagaimanapun katanya, jurang pencapaian tersebut semakin mengecil iaitu sebanyak 0.01 mata iaitu daripada 0.26 mata pada tahun lalu kepada 0.25 mata tahun ini.

"Untuk calon keperluan khas pula sebanyak 11 calon mendapat keputusan cemerlang iaitu gred A dalam semua mata pelajaran, namun jumlah ini berkurang tiga calon berbanding tahun lepas dan secara keseluruhan calon ini menunjukkan penurunan sebanyak 0.056 mata iaitu 4.07 mata berbanding 4.12 mata tahun ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, tiga daripada 17 mata pelajaran menunjukkan penurunan iaitu Bahasa Melayu, Kemahiran Hidup Bersepadu (KHB) Rumah Tangga dan KHB Perdagangan serta Keusahawanan.

"Prestasi subjek Bahasa Melayu menurun sebanyak 0.03 mata iaitu daripada GPMP 2.32 mata pada tahun lalu kepada 2.35 mata, manakala KHB Rumah Tangga dan KHB Perdagangan serta Keusahawanan masing-masing menurun sebanyak 0.04 dan 0.02 mata.

"Prestasi mata pelajaran Bahasa Inggeris pula meningkat sebanyak 0.10 mata iaitu daripada indeks GPMP 3.23 mata tahun lalu kepada 3.13, manakala Sejarah dan Geografi masing-masing menunjukkan peningkatan prestasi sebanyak 0.09 dan 0.04 mata," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, analisis dan GPMP mata pelajaran Matematik meningkat 0.03 mata iaitu daripada 2.78 tahun lalu kepada 2.75 mata manakala subjek Sains pula meningkat 0.04 mata iaitu daripada 2.79 kepada 2.75 mata.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...