Tuesday, January 14, 2014

Guru Mualaf SJKC Diarah Buka Tudung Jika Mahu Mengajar

KOTA TINGGI 12 Jan. - Penduduk Kampung Teluk Sengat, dekat sini yang marah menggantung beberapa kain rentang dan menampal puluhan poster bagi mencemuh tindakan seorang ahli jemaah pengurus sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang didakwa meminta seorang guru Cina Muslim membuka tudung.


Wanita itu turut diancam keselamatannya jika enggan berbuat demikian.

Utusan Malaysia difahamkan, ahli jemaah pengurus sekolah yang dikenali sebagai Pang berusia dalam lingkungan 60-an itu telah menyuruh guru mualaf berusia 25 tahun supaya membuka tudung selain mengancam keselamatannya sekiranya enggan berbuat demikian.

Berikutan ugutan itu, guru tersebut membuat laporan di Balai Polis Teluk Sengat dan berdasarkan maklumat terbaru, guru berkenaan ditukarkan serta-merta ke sebuah sekolah di bandar ini.

Sementara itu, Pengerusi Badan Kebajikan Sekolah Agama Teluk Sengat, Abd. Zani Shariff kesal dengan tindakan pihak berkenaan yang boleh menimbulkan rasa tidak puas hati antara penganut agama, khususnya umat Islam.

"Walaupun saya rasa tercabar dengan tindak-tanduk lelaki tersebut memainkan isu agama sehingga menimbulkan rasa marah umat Islam di sini, namun saya berharap pihak berkenaan dapat membendung isu panas ini daripada berpanjangan yang boleh mencetuskan isu perkauman," katanya yang ditemui di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Asiah Md. Ariff berkata, dia telah mendapatkan maklumat ketua kampung yang meminta supaya perkara itu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk disiasat.

"Harapan saya supaya keadaan di kampung ini berjalan seperti biasa dan mungkin ada sedikit kawalan yang perlu dibuat supaya tidak menimbulkan perkara yang tidak diingini.

"Jadi, saya harap pihak berkuasa akan segera mengambil tindakan seterusnya melakukan siasatan," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Rahmat Othman menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) mengesahkan menerima laporan yang dibuat oleh seorang penduduk tentang perkara berkenaan.

- Utusan Malaysia

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...