Wednesday, January 15, 2014

Mayat Pelajar Unimas Hilang Ditemui Terapung Dalam Parit Kawasan Kampus


KOTA SAMARAHAN: Polis menemui mayat seorang wanita dalam hutan di kawasan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) petang semalam, berkemungkinan mayat seorang pelajar universiti berkenaan yang dilaporkan hilang baru-baru ini.

Pelajar tersebut, Siti Najwa Atikah Azhar, 19, dikatakan hilang sejak 5 Januari lalu.

Selain itu, mangsa yang berasal dari Pulau Pinang juga sepatutnya pulang bercuti ke negeri asalnya pada 12 Januari lalu.

“Mangsa hilang sejak 5 Januari lalu, apabila dia dikatakan tidak hadir peperiksaan pada hari berkenaan dan dia yang sepatutnya pulang ke Pulau Pinang juga tidak menaiki pesawat pada 12 Januari lalu seperti yang dijadualkan,” kata sumber.

Justeru, satu laporan polis  telah dibuat oleh pihak universiti dan keluarga mangsa berhubung perkara tersebut.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Lee Chong Chern semasa dihubungi mengesahkan mengenai penemuan mayat wanita berkenaan.

Bagaimanapun Lee tidak dapat mengesahkan bahawa mayat itu adalah Siti Najwa Atikah kerana ia sudah reput.

“Sebelum ini kami ada menerima laporan berhubung kejadian di mana mangsa dilaporkan hilang dan kami telah melancarkan operasi mencari dan menyelamat mangsa serta-merta,”katanya sambil menambah operasi tersebut semalam turut menggunakan khidmat anjing pengesan.

Beberapa anggota polis daripada Unit Forensik juga telah dikejarkan ke tempat penemuan mayat itu untuk menjalankan siasatan.

Mayat yang reput itu kemudian telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

Kes tersebut setakat ini hanya diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat.

Operasi tersebut turut disertai anggota daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Pasukan Sukarelawan Malaysia(RELA),Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dan Unit Keselamatan UNIMAS.

- The Borneo Post

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...