Monday, January 06, 2014

Rumah Sewa Dipecah Masuk Perompak, Pelajar Curtin Sarawak Dibunuh Kejam

MIRI: Kawasan Senadin yang menempatkan beberapa kawasan perumahan dan penempatan termasuk sekolah dan institusi pengajian, perlu memiliki sebuah balai polis bagi meningkatkan tahap keselamatannya.

Menteri Muda Perhubungan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Datuk Lee Kim Shin berkata agenda mengenai pembinaan balai polis di Desa Senadin itu perlu dilihat dan diberi keutamaan oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya pernah mencadangkan kepada Ketua Polis Negara suatu ketika dahulu, supaya dibina sebuah balai polis di Desa Senadin ini.

“Semalam (Sabtu), saya telah mengemukakan semula cadangan tersebut kepada Ketua Polis Daerah (KPD) Miri ACP Mun Kock Keong dan beliau bersetuju dengan saya, bahawa perlu bagi sebuah balai polis dibina di Desa Senadin,” katanya.

Menurut Lee, selain mempunyai populasi yang semakin bertambah, kawasan Desa Senadin juga terletak agak jauh dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri.

“Malah di sini juga kita ada sebuah sekolah antarabangsa dan sebuah universiti bertaraf antarabangsa.

“Justeru saya merasakan adalah wajar dan sudah tiba masanya bagi sebuah balai polis dibina di sini bagi meningkatkan lagi tahap dan kawalan keselamatan di kawasan ini,” tambahnya.

Lee memberitahu demikian kepada pemberita di sini semalam, selepas melawat kediaman seorang pelajar Curtin Universiti Kampus Sarawak(Curtin Sarawak) yang dibunuh kejam oleh perompak yang memecah masuk dan merompak rumah sewanya dalam kejadian yang berlaku Sabtu lalu.

Lee yang juga Pengerusi Lembaga Pengurusan Curtin Sarawak, memberitahu untuk sementara waktu sebuah pasukan bertindak perlu ditubuhkan terdiri daripada anggota polis, RELA dan Rukun Tetangga (RT) bagi melakukan rondaan dan meningkatkan tahap keselamatan sedia ada.

Pasukan berkenaan kelak akan dibantu oleh Lembaga Keselamatan Curtin.

“Ini kerana perkara paling penting di sini ialah menjejaki dan memburu penjenayah terbabit dan juga memeriksa kawasan di sini, bagi mencari mereka yang bertanggung jawab bukan sahaja dalam kes pembunuhan ini malah dalam kes-kes jenayah lain khususnya membabitkan pecah rumah,” ujarnya.

Pada masa yang sama Lee turut memohon kerjasama penduduk di situ, supaya turut sama memberi maklumat kepada pihak polis termasuk melaporkan kejadian atau kegiatan mencurigakan yang berlaku di kawasan tersebut.

Malah Lee mengakui banyak aduan mengenai kes pecah rumah di Desa Senadin, telah diadukan kepada beliau sama ada ia dilaporkan kepada pihak polis atau sebaliknya.

Oleh yang demikian katanya, dengan adanya balai polis yang baharu kelak, ia akan membantu meningkatkan lagi tahap dan kawalan keselamatan di kawasan tersebut selain memudahkan pihak polis memantau dan menjaganya tanpa perlu datang jauh dari IPD Miri.

Pada masa yang sama beliau menyarankan kepada pemilik rumah dan pihak pemaju supaya membersihkan kawasan sekitar yang berumput tinggi dan bersemak tebal, terutama yang boleh menghalang pemandangan di halaman rumah, demi aspek keselamatan.

Sementara itu, dalam kejadian yang berlaku Sabtu lalu, mangsa yang menyewa rumah tersebut bersama empat lagi rakannya tinggal sendirian manakala rakannya yang lain belum pulang daripada bercuti.

Mangsa yang berusia 20 tahun dan berasal dari Sandakan, Sabah, baharu sahaja tiba di rumah sewa tersebut, dengan beberapa barangan termasuk pakaiannya masih berada di dalam bagasi, ketika perompak masuk ke rumah sewa tersebut dengan memotong bahagian pengunci jeriji di pintu masuk rumah tersebut.

Rumah teres dua tingkat di Desa Senadin itu yang dihuni oleh lima pelajar Curtin termasuk mangsa, telah disewa oleh mereka sejak November tahun lalu. Selain mangsa, dua lagi rakan serumahnya turut berasal dari Sabah manakala seorang dari Bintangor dan seorang lagi dari Johor.

- UB

Info berkaitan: BH

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...