Saturday, January 11, 2014

Sekolah Tunas Bakti Kuching, Institusi Kanak-Kanak Pertama Diiktiraf Pusat Bertauliah SKM


KUCHING: Sekolah Tunas Bakti (STB) Kuching merupakan institusi kanak-kanak pertama di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Malaysia yang diiktiraf sebagai pusat bertauliah bagi menjalankan latihan kemahiran berasaskan Sijil Kemahiran Malaysia.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang berbangga dengan pencapaian itu berkata, STB Kuching akan dijadikan sebagai model kepada institusi-institusi kanak-kanak lain di bawah JKM Malaysia.

“Sekolah Tunas Bakti Kuching merupakan institusi pertama diiktiraf sebagai pusat bertauliah, yakni pelatih-pelatih di sini telah diiktiraf melalui kursus-kursus tertentu untuk mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia.

“Maknanya, apabila mereka keluar dari pusat ini kelak, selain kita memulih akhlak, mereka juga akan menjadi graduan dan dibekalkan dengan Sijil Kemahiran Tahap Satu yang membolehkan mereka mendapat pekerjaan yang baik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan dan taklimat bersama pengurusan STB Kuching yang terletak di Kilometer 2, Jalan Datuk Mohamed Musa, Kota Samarahan dekat sini semalam.

Melihat kepada pencapaian membanggakan oleh STB Kuching, Rohani berkata kementerian akan menambah lima lagi institusi kanak-kanak di bawah JKM Malaysia untuk dijadikan sebagai pusat bertauliah bagi menjalankan latihan berasaskan kemahiran.

Lima institusi tersebut ialah STB Kota Kinabalu dalam bidang jahitan, STB Taiping (bakeri), STB Marang (bakeri dan jahitan), STB Sungai Lereh (jahitan) dan STB Telok Air Tawar dalam bidang kimpalan.

STB Kuching yang berjaya melahirkan 27 pelatih tahun ini pula menawarkan latihan kemahiran dalam tiga bidang iaitu binaan bangunan berasaskan kayu, pertanian dan elektrik dengan lima daripada-nya telah diambil bekerja.

“Sasaran kami ialah setiap peng-ambilan daripada enam STB ini nanti boleh mengeluarkan 150 pekerja mahir dan akan memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 anak-anak di bawah 18 tahun yang menghuni di semua STB di bawah JKM Malaysia,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, selaras dengan konsep mengarusperdanakan bidang kemahiran, JKM telah menyusun perancangan dan pelaksanaan bidang kemahiran bagi mewujudkan pusat bertauliah di institusi-institusi kebajikan kanak-kanak.

Hasilnya, pelbagai rancangan telah disusun mengikut standard kecekapan kemahiran bagi memastikan cita-cita jabatan dapat dilaksanakan dengan baik sekali gus memberi manfaat kepada hampir 3,000 kanak-kanak di institusi-institusi kebajikan seluruh negara.

Bagi memastikan cita-cita ini tercapai, jelasnya lagi, institusi hendaklah mematuhi syarat-syarat dan peraturan pertauliahan sebagaimana dinyatakan dalam Panduan dan Peraturan-Peraturan Pentauliahan Persijilan Kemahiran Malaysia.

Mengulas mengenai lawatan tersebut, ia merupakan siri lawatan beliau ke institusi persekutuan yang ada di sini bermula dengan Rumah Kanak-Kanak Batu 12, diikuti dengan STB Kuching dan seterusnya ke Taman Sri Puteri, Telaga Air.

Selain mendapatkan maklumat terperinci mengenai perjalanan institusi-institusi tersebut, lawatan itu juga bertujuan untuk memahami dan berbincang dengan ahli lembaga pelawat serta pengurusan institusi.

Dalam pada itu, satu konvensyen untuk ahli-ahli lembaga pelawat di seluruh Malaysia akan diadakan pada bulan Mei depan, justeru Rohani menyarankan semua ahli bersedia dengan cadangan yang baik untuk kumpulan sasaran.

- Utusan Borneo

English: The Borneo Post

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...