Sunday, January 26, 2014

Siasatan PPD Batang Padang: Loceng Hanya Diselit di Butang Baju


  • Siasatan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Batang Padang, mendapati loceng yang digunakan untuk mendenda dua murid tahun empat di Sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) Khai Meng di Sungkai, Perak "hanya diselit di butang baju sekolah, bukan diikat dileher".

    Pengarah Pendidikan negeri Muhamat Roli Hassan berkata selain menyelit loceng pada butang baju, guru bahasa Inggeris itu mendenda dengan merotan dua kali dan mengeluarkan kata-kata tidak sesuai kepada murid berkenaan, lapor Mingguan Malaysia hari ini.

    "Siasatan PPD Batang Padang juga mendapati denda berkenaan bertujuan memberi amaran kepada muridnya supaya menyelesaikan kerja rumah.

    "Bagaimanapun, denda itu dilihat tidak sesuai dan PPD Batang Padang meminta SJKC Khai Meng mengeluarkan surat amaran pentadbiran kepada guru terbabit," katanya seperti dilaporkan akhbar itu.

    Muhamat Roli berkata guru itu juga memaklumkan denda itu bertujuan memberi pengajaran kepada kedua-dua murid tersebut sekaligus menafikan denda itu berunsut perkauman.

    Dilaporkan dua murid Muhammad Nasvinder Muhammad Amit dan Mohd Izat Iqbal didenda dengan didakwa diberi rumput dan digantung loceng di leher kerana gagal menyiapkan kerja rumah bagi mata pelajaran bahasa Inggeris.

    Kejadian yang berlaku pada Khamis lalu yang mana guru lelaki berusia 26 tahun didakwa menggelarkan mereka "lembu". Mereka antara empat murid yang didenda. Dua lagi pelajar tidak dihukum kerana mempunyai masalah kesihatan.

    Selain dirotan sebanyak dua kali, Nasvinder dan Mohd Izat diarah memakai loceng sejak jam 9 pagi hingga tamat waktu persekolahan pada jam 1.30 petang dan berdepan dengan ejekan "lembu" oleh rakan sekelas dan guru mereka.

    Hal demikian telah mencetuskan kemarahan bagi keluarga kedua-dua murid berkenaan dan mereka telah membuat laporan polis ekoran insiden itu.

    Sementara itu, Berita Minggu hari ini memetik Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Som Sak Din Keliaw sebagai berkata guru bahasa Inggeris itu baru dua tahun mengajar di sekolah itu.

    Menurutnya, guru tersebut mengaku melakukan perbuatan terbabit tetapi menafikan memberi murid memakan rumput.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...