Monday, February 17, 2014

Guru Diingatkan Tidak Sertai #Himpunan222MansuhPBS pada 22 Febuari ini

KUALA TERENGGANU, Sabtu - Warga pendidik diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dan menyertai himpunan mansuh pelaksanaan sistem aplikasi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)’, pada 22 Feb depan di Putrajaya. Yang Dipertua Majlis Pegawai Pendidikan Daerah Malaysia (MPPDM) Shafruddin Ali Hussin berkata himpunan berkenaan merupakan dakyah pihak tertentu yang mahu menjatuhkan kerajaan dan menggugat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) semata-mata, demi kepentingan diri.

"Kita akan ingatkan setiap pengetua dan guru besar melalui infoblast, khidmat pesanan ringkas (SMS), Whatsapp, e-mel dan surat supaya memastikan guru-guru tidak terlibat dalam perarakan," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Majlis Bersama Guru-guru Besar Hulu Terengganu di sini hari ini. Shafruddin yang juga Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Hulu Terengganu secara peribadi tidak bersetuju dengan himpunan berkenaan kerana ia bukanlah cara terbaik untuk meluahkan ketidakpuasan hati kerana KPM sentiasa memberi ruang bagi menyuarakan pendapat.

Selasa lepas, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata KPM akan mengkaji semula dan menangguhkan sehingga April pelaksanaan sistem aplikasi PBS selepas pelbagai aduan diterima daripada golongan guru. PBS merupakan transformasi daripada berfokuskan peperiksaan kepada sistem pentaksiran pendidikan yang lebih holistik. Bagaimanapun, sejak tahun lepas, para guru mendakwa ia membebankan mereka berikutan sistem aplikasi pengkomputeran itu sering tergendala menyebabkan data pelajar terpaksa dimasukkan pada lewat malam. -- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...