Thursday, February 12, 2015

57 bakal guru daripada UNIRAZAK ‘menganggur’


KUCHING: Puas menunggu namun tiada jawapan, sekumpulan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan daripada Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) Sarawak di sini mencapai kesepakatan untuk menghantar memorandum kepada pihak universiti bagi menyelesaikan masalah penempatan mereka.

Menurut jurucakap bagi kumpulan graduan seramai 57 orang yang dihubungi semalam, selepas menamatkan pengajian pada 2013, sehingga kini tiada seorang daripada rakan-rakan sepengajiannya yang berjaya ditempatkan di mana-mana sekolah di negara ini.

Malah graduan ini percaya masih ramai lagi di kalangan senior mereka yang gagal ditempatkan di mana-mana sekolah namun hanya berdiam diri disebabkan sudah penat berusaha dan menunggu.

“Sebenarnya ijazah yang diperolehi kami adalah diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan pihak universiti perlu menghantar nama graduan ke Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi tujuan penempatan yang akan diuruskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).

“Namun disebabkan pihak universiti tidak menghantar nama kami ke KPM maka kami telah tercicir dari senarai penempatan guru selepas tamat pengajian,” katanya yang enggan namanya didedahkan.

Tambah graduan ini, buat masa ini mereka sedang berusaha mengumpul seramai mungkin graduan yang senasib dengan mereka untuk menyokong memorandum bagi menggesa pihak universiti mendaftarkan nama graduan lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan ke KPM.

Buat masa ini graduan yang berasal dari Lundu ini sedang mencari pekerjaan lain disebabkan kontrak mengajar di SMK Paku telah tamat pada November tahun lepas.

Dalam pada itu sebelum ini sekumpulan pelajar dari universiti yang sama, telah berjumpa dengan Menteri Kanan Tan Sri Datuk Amar James Masing berhubung masalah yang sama.
Tujuannya adalah untuk memaklumkan kepada pihak kerajaan bahawa Sarawak mempunyai ramai graduan terlatih untuk ditempatkan di sekolah-sekolah di negeri ini.

Namun, kebanyakan daripada mereka terutama graduan tempatan dari univer-siti swasta seperti UNIRAZAK dipinggirkan terutama dalam urusan penempatan guru di sekolah-sekolah kerajaan.

Sumber: Utusan Borneo

1 comment:

ben_shi said...

masih sama perkembangan. harap kami sebagai anak didik UNIRAZAK ni mendapat pembelaan KPM. semoga pihak Universiti dapat lakukan sesuatu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...