Monday, February 09, 2015

ADTEC Bintulu Peneraju Latihan Kemahiran Teknologi Tinggi

Penubuhannya sejajar dengan usaha tingkat jumlah pekerja mahir di kalangan rakyat negeri ini

KUCHING: Penubuhan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di Bintulu sejak 2014 berperanan sebagai peneraju latihan kemahiran teknologi tinggi di Kepulauan Borneo.

Menjelaskan perkara tersebut, Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin berkata, penubuhannya adalah sejajar dengan usaha kerajaan meningkatkan jumlah tenaga kerja mahir di kalangan rakyat tempatan di negeri ini, khususnya.

Malah usaha itu jelasnya, menjadi salah satu komponen pelaburan utama dalam pelan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

“Adalah menjadi suatu kepentingan dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mencukupi bagi merealisasikan hasrat menjadikan Sarawak sebagai negeri maju menjelang 2030.

“Pada masa sama, dengan adanya penekanan kepada usaha tersebut, negeri ini juga dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) Datuk Amar Wilson Baya Dandot di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama di sini, semalam.

Lee yang juga pengerusi Panel Penasihat ADTEC memberitahu, pusat latihan itu bersedia melatih dan mengeluarkan tenaga mahir berwawasan, berdaya kreatif dan beretika tinggi dalam pelbagai bidang kemahiran.

“Dengan adanya penubuhan ADTEC, ia dipercayai mampu memenuhi keperluan tenaga mahir negara dengan menyediakan latihan kemahiran di peringkat tertinggi dengan pengkhususan dalam bidang teknologi.

“Malah, ia juga sejajar dengan keperluan perkembangan teknologi dalam keseluruhan sektor perindustrian,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai kunjungan hormat itu, Wilson berkata, RECODA menyambut baik usaha ADTEC untuk menarik lebih ramai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pemilik Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) di institusi pengajian tinggi di seluruh Sarawak.

Katanya ia adalah langkah proaktif dan bijak bagi mengatasi kekurangan tenaga kerja mahir yang ditempatkan di taman perindustrian yang juga meliputi Samalaju, Mukah, Tanjung Manis, Baram, Tunoh dan banyak lagi.

“ADTEC bukan sahaja membuka peluang kepada pelajarnya untuk mempelajari kemahiran dalam aspek teori, bahkan lebih mengutamakan aspek teknikal yang kini menjadi keutamaan dalam usaha melahirkan modal insan yang berkemahiran,” katanya.

Difahamkan, ADTEC ditubuh di wilayah timur bertujuan menampung keperluan tenaga mahir bagi menjayakan SCORE terutama dalam sektor perindustrian berasaskan minyak dan gas.

Ia juga sekali gus meletakkan pusat latihan itu sebagai pusat kecemerlangan minyak dan gas bagi melatih pekerja tempatan dalam bidang tersebut agar pengambilan pekerja mahir dari luar negara dapat dikurangkan.

ADTEC mempunyai 12 kursus peringkat diploma merangkumi Diploma Teknologi Kejuruteraan (DTK) dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) yang masing-masing mendapat pengiktirafan penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Antara program yang ditawarkan ialah Elektrik dan Elektronik, Mekanikal, Teknologi Maklumat, Teknologi Minyak dan Gas, Automotif, Kimpalan, Mekatronik, Elektrik serta Penyejukbekuan dan Penyaman Udara.

Lepasan SPM dan SKM bolehlah mendaftar di ADTEC dengan pengambilan pelajar untuk program sepenuh masa dibuat dua kali setahun iaitu pada Januari dan Julai dan untuk sebarang pertanyaan sila layari laman sesawang http://www.jtm.gov.my atau www.adtecbintulu.my atau http://upu.mohe.gov.my.

Hadir sama ialah Pengarah ADTEC Dr Ramli Rashidi.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...