Saturday, July 23, 2016

576 Guru Interim dilantik di Sabah


KOTA KINABALU: Lebih 500 orang dilantik sebagai guru secara interim bagi mengisi kekosongan guru sekolah menengah di Sabah. Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Maimunah Suhaibul berkata, pihaknya menerima waran seramai 576 guru interim. “Tetapi kita mempunyai masalah kekurangan guru untuk sekolah menengah seramai 581 orang. “Justeru, selepas menerima waran ini, kita cuba untuk memenuhkan kekurangan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Jabatan Pendidikan Negeri Sabah di sini, kelmarin. Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman bersama isteri Datin Seri Panglima Faridah Tussin menjadi tetamu kehormat majlis itu.

Maimunah berkata penempatan guru-guru interim itu meliputi seluruh Sabah terutama di daerah yang kekurangan guru. “Ini termasuklah daerah di pantai timur seperti Sandakan, Lahad Datu dan Semporna serta daerah Pitas dan Kudat.

“Sekarang ini, subjek yang kritikal kekurangan guru adalah Pendidikan Islam dan ada juga sedikit kekurangan guru untuk Bahasa Inggeris. “Sehubungan itu, saya meminta kepada guru-guru interim yang dilantik supaya mereka bersedia untuk berkhidmat di kawasan luar bandar,” jelasnya.

Ia kerana katanya, kawasan berkenaan adalah keperluan sebenar guru-guru terbabit. Sebelum ini, pihaknya mengadakan sesi temu duga pada 19 dan 20 Julai lepas untuk pengambilan guru-guru interim di Sabah. Menurutnya, kelayakan hanya kepada mereka yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan sama ada dari universiti awam atau swasta.

Sumber: Utusan Borneo, 23 Julai 2016 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...