Monday, September 18, 2017

Dayak Think-Tank Group (DTTG) Tidak Bersetuju IPG Rajang Ditutup

KUCHING: Kumpulan Pemikir Dayak (DTTG) tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menutup Institut Pendidikan Guru (IPG) Rajang.

Pengasas DTTG Wellie Henry Majang berkata IPG Rajang merupakan kampus tunggal di Malaysia yang menawarkan pengajian program Ijazah Sarjana Muda Bahasa Iban sejak Januari 2013.

Justeru katanya, penutupan IPG ini akan membantutkan usaha kerajaan untuk melatih lebih ramai guru yang mahir dalam bahasa Iban untuk ditempatkan ke sekolah-sekolah dalam negeri ini.

“Kampus yang beroperasi sejak 1967 ini telah menjadi ikon bagi Meradong dan telah mengeluarkan ramai guru terlatih yang berkhidmat di seluruh pelosok negeri ini.

“Kampus ini juga amat diperlukan memandangkan lokasinya yang strategik dan mempunyai prasarana lengkap dengan staf yang berkemahiran.

“Sehubungan itu, kami menggesa kementerian dan jabatan yang berkenaan agar mengecualikan kampus ini daripada ditutup,” katanya.

Dalam pada itu, IPG Rajang merupakan antara sembilan daripada 27 kampus di seluruh negara yang akan ditutup termasuk IPG Miri.

Langkah ini turut tidak mendapat persetujuan daripada kerajaan negeri dan merancang untuk memperkenalkan program yang bersesuaian untuk kedua-dua kampus ini.

IPG Miri berkemungkinan besar akan dijadikan sebagai pusat Latihan Pendidikan Teknologi dan Vokasional (TVET) kerana disokong oleh pembangunan industri.

Manakala IPG Rajang masih belum ditentukan bentuk program yang akan diperkenalkan dan sebaik keputusan dicapai Ketua Menteri akan memaklumkan kepada Perdana Menteri.

Sumber : Utusan Borneo (11 Sept 2017)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...