Monday, September 18, 2017

Kerajaan Persekutuan Perlu Pertimbang Tukar IPG Rajang & IPG Miri

MIRI: Kerajaan persekutuan perlu mempertimbang semula langkah menukar dua Institut
Pendidikan Guru (IPG) di negeri ini kepada Pusat Pendidikan Vokasional (PPV).

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional Sarawak, Wan Zain Syed Mohdzar berkata jika perkara itu tidak dapat dielak maka fasiliti itu perlu diserah kepada Sarawak.

“Kerajaan persekutuan sepatutnya menggunakan fasiliti lain bagi tujuan pendidikan teknikal mahupun vokasional, bukan menutup IPG Miri dan IPG Rajang,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Sebelum ini, dua IPG diumum bakal ditutup ialah IPG Rajang merupakan pakar melahirkan akademik Iban dan IPG Miri pakar dalam pendidikan Penan.

Mengulas lanjut, sama ada IPG itu ditutup atau bertukar fungsinya, maka kerajaan persekutuan perlu berunding dengan kerajaan negeri lebih lanjut.

“Hal ini kerana kita perlu tahu apa sebenarnya perancangan kerajaan persekutuan kerana kedua-dua IPG ini penting dan telah melahirkan ramai guru,” jelasnya.

Menurutnya, jika berubah fungsi kepada PPV, maka kerajaan negeri perlu mengambil alih
kepentingan dalam institusi itu demi untuk manfaat rakyat Sarawak sendiri.

“Sebagai contoh, hasrat mentransformasikan bidang pertanian di Sarawak akan lebih terancang kerana PPV ini dapat melahirkan graduan tempatan berkemahiran,” katanya.

Pada masa sama, Sarawak juga mempunyai Petroleum Sarawak (Petros) yang juga memerlukan tenaga kerja mahir tempatan dalam bidang minyak dan gas.

“Sudah pasti kita mahu setiap perubahan ini memberi manfaat kepada rakyat tempatan dan
bukannya dilakukan kerana kepentingan tertentu,” jelasnya.

Beliau bagaimanapun tetap tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan persekutuan menukar fungsi dua IPG berkenaan.

“Kita mahu nisbah 9: 1 guru di Sarawak, kerana kita masih kekurangan guru tempatan mengajar di luar bandar, jika IPG ini ditukar fungsinya, ia menjejaskan hasrat kerajaan negeri,” tegasnya.

Bagi guru, Safrina Masni berkata pertukaran fungsi IPG kepada PPV mempunyai kebaikan dan keburukannya tersendiri.

“Jika IPG ini ditutup, maka ia akan mengurangkan guru-guru terlatih tempatan kerana kemungkinan guru guru ini terpaksa mengajar di luar Sarawak,” jelasnya.

Pada masa sama, sekolahsekolah juga terpaksa mengambil guru- guru tidak mempunyai latar belakang pendidikan mengajar di sekolah mereka.

Sumber : Utusan Borneo (10 Sept 2017)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...