Monday, October 29, 2018

Lebih 7 Ribu Graduan ILKKM Diserap Mulai 1 Jan 2019

  NR       Monday, October 29, 2018

IPOH - Lebih 7,000 graduan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) yang belum mendapat penempatan tugas akan diserap secara kontrak bermula 1 Januari depan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, untuk peringkat awal, tempoh lantikan selama empat tahun itu diberi keutamaan kepada graduan Jun 2017 melibatkan lebih 4,000 orang.

Menurutnya, kementerian perlu mewujudkan lantikan secara kontrak memandangkan jawatan sedia ada untuk diisi secara tetap tidak mencukupi.

"Kementerian sebelum ini telah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan secara prinsipnya telah bersetuju dengan cadangan ini.

"Kita boleh ambil (graduan) menerusi kontrak dan mereka berpeluang berkhidmat, jadi mana-mana yang menunjukkan prestasi cemerlang boleh diserap (terus) dalam sistem penjawatan kementerian," katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Konvokesyen 2018 Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) di Dewan Seri Perdana ILKKM Sultan Azlan Shah.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian, Datuk Hasnol Zam Zam Ahmad.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Gopeng itu berkata, proses serapan secara kontrak akan dilakukan secara berterusan.

Katanya, Bahagian Sumber Manusia Kementerian telah mengambil beberapa langkah membantu menyegerakan pelantikan graduan ILKKM.

Antaranya mewujudkan jawatan-jawatan tambahan dalam skim paramedik dan auksiliari menerusi 'trade off' jawatan-jawatan skim perkhidmatan yang lain.

Juga melaksanakan pengisian jawatan-jawatan naik pangkat menerusi urusan pemangkuan serta pengisian. Ini bertujuan untuk membantu mengosongkan jawatan di gred lantikan," katanya.

"Kita faham kebimbangan graduan dan ibu bapa berkaitan isu ini, kita di kementerian juga sedar sebahagian graduan Jun 2017, menghadapi kelewatan lantikan kerana tidak ada jawatan kosong yang mencukupi bagi skim-skim berkaitan," katanya.

Konvokesyen ILKKM kali ke-8 telah berlangsung selama tiga hari bermula, Sabtu lepas menampilkan 8,124 graduan diploma lanjutan, diploma dan sijil pengkhususan.

Majlis turut menyampaikan sijil kepada dua graduan yang telah meninggal dunia iaitu Allahyarham Muhammad Zahiruddin Mat Jusoh (Sijil Pembantu Kesihatan Awam) dan Hazwan Aliff Abdul Razak (Diploma Radiografi) yang diterima waris masing-masing.
Kedua-duanya meninggal dunia dalam nahas  pada 30 Mac dan 1 Oktober lalu.

- Sinar Harian 
logoblog

Thanks for reading Lebih 7 Ribu Graduan ILKKM Diserap Mulai 1 Jan 2019

Newest
You are reading the newest post

No comments: